Tuesday 27 August 2013

Blazer Sultan Idris Training College (SITC) 1934

Selama teman mengumpul barang-barang lama inilah kali pertama teman dapat blazer yang penuh bersejarah siap dengan sijil  lulus peperiksaan akhir bertarikh 30 November 1934 di Sultan Idris Training College Tanjing Malim yang kini lebih dikenali sebagai Universiti Pendidikan Sultan Idris. Perkembangan UPSI melalui tiga era iaitu SITC (1922-1957). MPSI (1957-1987), IPSI (1987-1997) dan UPSI (1997-sekarang)

SITC

Penubuhannya dicadangkan oleh Timbalan Pengarah Sekolah-Sekolah Melayu, Sir Richard Winstedt bagi mewujudkan institut latihan perguruan paling tinggi khusus untuk orang Melayu ketika itu. “Ilham ini timbul setelah kepulangan beliau dari lawatan ke Tanah Jawa dan Filipina. Tanjung Malim dipilih kerana ia mempunyai tanah subur bagi menampung keperluan kurikulum yang ketika itu berteraskan kepada kemahiran bidang pertanian dan juga kerana ia berdekatan dengan rangkaian kereta api, jalan raya dan sungai.

“Pada mulanya penubuhan dengan kumpulan pertama pelatih mempunyai seramai 120 orang, ia dikenali Kolej Latihan Sultan Idris (SITC) dengan reka bentuk bangunan cukup indah berunsur seni bina Belanda ala Gothik zaman pertengahan dan sehingga kini masih lagi terdapat di UPSI.

Nama Almarhum Sultan Idris Mursidul Adzam Shah iaitu Sultan Perak ke-28 yang memerintah antara tahun 1889-1916 yang banyak memberikan sumbangan dalam mempertingkatkan bidang pendidikan orang Melayu.
Usaha Inggeris ternyata membuahkan hasil apabila SITC yang mempunyai tenaga pengajar berbangsa Eropah, Melayu dan Filipina berjaya melahirkan ramai pejuang Melayu yang cukup berjasa bagi membangunkan masyarakat dalam pelbagai bidang.

Antara tokoh-tokoh yang dilahirkan  ialah Bapa Bahasa Melayu Moden iaitu Zainal Abidin Ahmad atau lebih dikenali dengan panggilan Za’ba. Ia juga melahirkan ramai tokoh besar penyair, cerpenis dan novelis Melayu. Antaranya, A. Wahab Ali, Ali Majod, Othman Puteh, Dharmawijaya, Kemala, Suhaimi Haji Mohammad, Shahnon Ahmad dan Suratman Markasan. Selain itu, SITC turut melahirkan tokoh dalam bidang pendidikan seperti Tan Sri Awang Had Salleh serta pemimpin politik iaitu bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Ghaffar Baba dan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas.


Blazer Sitc

Blazer ini  adalah kepunyaan arwah tok teman yang bernama Cikgu Ibrahim Bin Sulaiman. Berasal dari Kg Pulai Tiga, Tapah, Perak. Blazer ini dipakai ketika menuntut di SITC pada tahun 1934 berdasar tarikh pada sijil peperiksaan akhir. Keadaannya masih dalam keadaan original dan terdapat sedikit koyak akibat dimakan oleh serangga

Blazer SITC



Sijil Peperiksaan Akhir November 1934